Saya telah mempelajari sesuatu yang bermakna ketika zaman kanak-kanak. Kawan-kawan sepermainan yang lain ketika itu pun turut mengetahuinya. Mereka kata, kalau tinja yang mempunyai tompok-tompok jagung, maksudnya individu tersebut ada menikmati jagung sebelum itu. Begitu juga dengan kes biji cabai, siapa yang kuat makan cabai, maka bercabailah tinjanya. Bagaimana mereka boleh explore perkara serumit ini? Entahlah. Barangkali mereka ini jenis suka ‘membelek’. Biasalah, masih kecil. Apa tau?
Cerita ini hanyalah suatu contoh untuk memberitahu yang rupa tinja kita boleh dijadikan sebagai indikator yang mencerminkan pemakanan kita kira-kira 12 hingga 24 jam sebelumnya. Mungkin akan ada yang bertanya, “perlu ke sampai melihat tinja sendiri apabila membuang air besar?”. Jawapannya, memang perlu kerana rupa tinja itu sendiri mencerminkan sejauh mana kelancaran sistem pencernaan kita.
Pola dan jenis tinja
Setiap orang mempunyai pola membuang air besar yang berbeza. Ada yang membuang 2 kali sehari, ada yang membuang lebih dari itu (diarrhea). Ada yang membuang sekali sehari (yang ini normal), ada juga yang membuang 3 kali seminggu. Ada juga jenis hari-hari masuk ke tandas, tapi anehnya ‘benda’ tu tan nak keluar langsung. Sampai tahap tinjanya menjadi amat keras setelah tidak dibuang berhari-hari lamanya. Bila meneran, muka habis ketat macam menteri ‘Fa So La’ dalam cerita ‘Laksamana Do Re Mi’.
Kita mampu menafsir sejauh mana baiknya pola membuang air besar kita menerusi jenis tinja yang dihasilkan. Berdasarkan skala yang dibangunkan oleh Lewis S.J. dan Heaton K.W dari University of Bristol, tinja boleh dikelaskan kepada 7 jenis iaitu:
Jenis 1: Berbentuk biji-biji, agak keras seperti ketulan batu.
Jenis 2: Berbentuk seperti sosej, tetapi berketak-ketak.
Jenis 3: Juga berbentuk seperti sosej, tetapi macam merekah sedikit.
Jenis 4: Berbentuk seperti ular, agak licin, halus dan lembut. Just Nice atau normal.
Jenis 5: Bergumpal-gumpal, lembut dengan potongan hujungnya jelas.
Jenis 6: Yang ni seakan cirit sikit, likat, gabungan cecair dan pepejal.
Jenis 7: Sangat cair, tiada pepejal. Ingat itu, tiada pepejal!
Sekiranya tinja berada pada jenis 1 dan 2, itu bermaksud anda sedang mengalami sembelit. Selalunya situasi ni terjadi jika seseorang itu malas untuk membuang air besar setiap hari atau amalan pemakanan yang lemah. Dalam bahasa mudahnya, kurang pengambilan serat dalam makanan. Apabila pengambilan serat kurang, saiz tinja dalam usus besar akan menjadi lebih kecil atau ‘less bulky’ dan mengakibatkan pergerakan tinja (bowel movements) dalam usus besar menjadi kurang aktif dan perlahan.
Untuk melancarkan pergerakan, saiz tinja perlulah cukup besar untuk membantu merangsang kontraksi usus, disamping tinja juga perlulah lembut supaya mudah ‘bergerak’. Namun sebaliknya berlaku andai pergerakan tinja di dalam usus besar anda adalah perlahan, yang mana sekaligus mengurangkan kekerapan anda ke tandas. Hal ini menyebabkan tinja menetap lebih lama di dalam usus besar. Lebih lama ia berada di sana, lebih banyaklah air yang akan diserap darinya sehingga sampai satu tahap ia menjadi terlalu keras.
Kurang ambil serat –> Saiz tinja kurang –> pergerakan tinja kurang aktif –> lambat untuk sampai ke penghujung usus besar –> lebih lama menetap dalam usus besar –> semakin kurang jisim air dalam tinja kerana diserap –> tinja menjadi keras –> sembelit.
Mungkin ramai yang percaya sembelit bermaksud tinja tidak terkeluar langsung ketika membuang air besar, namun hakikatnya dari aspek perubatan, pemahaman sembelit adalah situasi di mana seseorang pergi ke tandas untuk membuang air besar dengan kadar yang kurang berbanding biasa. Jika kebiasaannya anda membuang air besar 4 kali seminggu, namun tiba-tiba pada minggu ini anda hanya membuang air besar 2 kali sahaja, anda sebenarnya sudah mengalami sembelit.
Tahukah anda: Faktor diet seperti kurang minum air, kurang pengambilan makanan tinggi serat, serta pengambilan teh pekat (tinggi kandungan theophylline) mampu meningkatkan risiko tinja keras. Pengambilan ubatan dan suplemen tertentu seperti Zinc juga mampu membuatkan najis menjadi ‘super keras’.
Sama seperti kes berat badan, tinja juga ada kategori yang ideal (normal), dan kategori ideal untuk tinja ini jatuh pada jenis yang ke-3 dan ke-4. Selalunya tinja sebegini dihasilkan kalau seseorang itu rajin ke tandas setiap hari yang mana dibantu oleh pengambilan lebih banyak serat tak larut seperti beras perang, jagung dan kacang hijau (serat tak larut bergerak lebih pantas dalam usus, rujuk bab sebelum ini).
Bagaimana pula dengan kategori ke-5 hingga 7? Kalau anda pernah mengalami jenis yang ke-5, anda kira bernasib baik lagi kerana itu mungkin disebabkan angin/gas yang terlalu banyak dalam usus, atau ambil sesuatu yang ‘menciritkan’ seperti susu berlaktosa. Namun untuk kategori 6 hingga 7, anda harus berhati-hati kerana itu mungkin petanda ‘diarrhea’.
Selain itu, petanda diarrhea atau cirit-birit antara lain termasuklah kerap ke tandas, membuang tinja lebih daripada 3 kali sehari, dan/atau mempunyai lendir/darah pada tinja. Sekiranya anda mengalami situasi seperti ini, anda dinasihatkan untuk segera ke klinik dan hospital untuk mendapatkan konsultasi dari doktor kerana dikhuatiri ia berpunca dari jangkitan kuman.
Tip ekspres: Cara mudah untuk mengatasi sembelit:
- Lakukan senaman secara kerap. Disamping mengurangkasn stres, bersenam juga mampu meningkatkan kadar metabolisma. Apabila metabolisma meningkat, proses peristalsis juga menjadi semakin pantas (cepat membuang air besar).
- Minum air secukupnya – ramai mengesyorkan untuk minum sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari, tetapi cara paling mudah adalah dengan ‘mendengar’ tubuh anda. Minum apabila mula terasa dahaga, dan perhatikan warna air kencing. Sekiranya berwarna kuning pekat, perbanyakkan minum air.
- Makan lebih banyak kombinasi serat larut dan tak larut, termasuk bijirin, roti gandum penuh, nasi, dan sekurang-kurangnya lima hidangan buah-buahan dan sayuran sehari.
- Jangan malas ke tandas!
=======
Sudahkah anda mendapatkan Siri Buku Celoteh Susu Sejat? Ala, siri buku yang menghimpunkan artikel-artikel ilmiah terpilih (diet, penurunan berat badan, kesihatan, senaman, motivasi) yang pernas ditulis dan disiarkan di Facebook Susu Sejat tu. Kalau masih belum mendapatkan siri buku ini, klik sini (Whatsapp) atau sini (Facebook).